Persepsi Songsang Umat Islam Terhadap Isu-Isu Semasa
Perkembangan mutakhir memperlihatkan banyak isu-isu yang lahir dan dibahaskan berdasarkan persepsi yang songsang. Antaranya:
1) Islam tidak boleh dicampur adukan dengan politik
Isu tersebut seringkali kita dengar dan membacanya di dada-dada akbar dan media elektronik. Isu tersebut timbul sebahagian besarnya adalah akibat daripada pertentangan idealogi politik parti-parti politik yang terdapat di negara ini dalam usaha mereka untuk mendapatkan pengaruh dan kekuasaan di kalangan masyarakat. Sebenarnya slogan bahawa agama harus dipisahkan daripada politik bukanlah baru di dunia Islam. Ia berpunca dari fahaman Barat dan kejahilan umat Islam memahami world-view Islam secara menyeluruh. Ada sesetengah pihak cuba melunakan istilah secular dengan memberinya makna yang positif agar ia semacam sesuai dengan Islam. Seperti membahagikan istilah sekular kepada dua, iaitu sekular negatif dan sekular positif. Ada pandangan yang lebih berani lagi dengan mengatakan Islam adalah agama sekular yang memisahkan persoalan politik dari agama . Pandangan tersebut dibuat oleh Shekh Ali Abd al-Raziq yang berasaskan kepada 4 alasan (Lihat:Mohamed S.El-Wa, On the political system of Islamic state, 1984):
i.Bentuk pemerintahan Islam boleh dalam apa juga bentuk sama ada otokrasi, birokrasi, monarki, republik, demokrasi dan lain-lain.
ii. Tugas Nabi hanya mengajak memeluk agama, bukannya untuk mengatur negara atau pemerintah.
iii. Islam agama persatuan.
iv. Rasulullah mengajak umatnya bersatu dan berjaya mempersatukan mereka.
Pandangan di atas telah ditolak dengan hebat oleh ulamak-ulamak Islam seperti Shekh Muhamad al-Khidr Hussein (Mufti Azhar), Prof.Abd Hamid Mutawalli dan lain-lain lagi.Sekiranya pandangan tersebut diterima, seolah tugas Rasulullah adalah sekadar mengajak manusia mentauhidkan Allah dan bukannya mengatur hidup manusia berpadukan hidayah daripada Allah.Pandangan tersebut juga bererti menolak sebahagian besar sirah Rasulullah yang memperlihatkan perjuangannya yang bersungguh-sungguh bagi mewujudkan sebuah negara Islam di Madinah , antaranya melalui hijrahnya ke Madinah dalam rangka mewujudkan sebuah daulah Islamiah.Menurut Prof.Ismail al-Faruqi; “the most important aspect of the Hijrah is its creation of the Islamic state”, katanya lagi’ “…the state is inevitable for Islam. It is absolutely necessary for muslims to fulfill their Islamicity” . Ia juga merupakan essensi pengalaman keagamaan Islam yang menuntut pelaksanaan Islam dan mengubah ruang-waktu bagi memenuhi pola ketuhanan (Prof.Ismail al-Faruqi, The Hijrah: The Necessity of its iqamat, 1983) . Negara Islam menurut Muhammad Iqbal adalah “is the expression of Islam’s spirituality” yang perlu diperluaskan dalam kehidupan umat Islam.Kalau diterima pandangan yang membataskan fungsi agama hanyalah dalam persoalan keagamaan sepertimana interprestasi Shekh Ali Abd Raziq terhadap fungsi pengutusan Nabi Muhammad, samalah Islam dengan agama Kristian yang membataskan peranan Pope mereka dalam persoalan ritual semata-mata atau Pope hanyalah pemerintah dalam kerajaan spiritual.
Ada juga segelintiran masyarakat Melayu menyarankan agar nama Islam tidak boleh digunakan oleh parti-parti politik atau pertubuhan-pertubuhan bagi mengelakkan Islam diperalatkan oleh parti politik tersebut bagi mendapatkan pengaruh di dalam masyarakat. Pandangan tersebut berasaskan hujah bahawa terdapat pertubuhan-pertubuhan di luar negara yang menggunakan Islam melakukan keganasan terhadap orang lain.Disamping itu, ia bertujuan mengelakkan berlakunya perpecahan dan pertelagahan sesama Islam. Pandangan tersebut merupakan pandangan yang bias, prejudis dan tidak berasaskan kepada dalil al-Qur’an dan Hadis. Pandangan tersebut hanya sekadar melanjutkan padangan negatif Barat terhadap Islam, kebencian terhadap gerakan Islam dan dibuat atas dasar penilaian rasional dan pengamatan sosiologi semata-mata. Kalau diterima pandangan ini, bukan sahaja pertubuhan politik tidak boleh menggunakan nama Islam, tetapi juga Bank juga tidak boleh dinamakan dengan Bank Islam dan nama orang-orang Melayu juga tidak boleh digunakan nama-nama Islam kerana alasannya ia masih melakukan kejahatan,kemungkaran atau tidak melambangkan hakikat Islam.
Kata nama Islam disandarkan kepada apa juga perbuatan, aktiviti dan gerakan adalah bertujuan untuk memberikan identiti khas dan hala tuju bahawa pekara tersebut dilakukan demi mencapai kehendak Islam mengikut kemampuan manusia. Kita mengakui bahawa terdapat kelemahan di dalam aspek penghayatan dan pelaksanaan Islam bagi pertubuhan yang menggunakan nama Islam. Sepatutnya kelemahan mereka itu harus diperbetulkan melalui semangat musyawarah, kritikan yang membina dan hujah yang rajih, bukannya dengan terus mengharamkan penggunaan nama Islam sepertimana kesilapan besar yang dilakukan oleh Turki di bawah pemerintah Kamal Atartuk dan diteruskan sehingga hari ini. Disamping itu, tidak pernah ada mana-mana ulamak yang mengeluarkan fatwa mengharamkan atau tidak menggalakkan penggunaan nama Islam atas apa juga pekara melainkan dengan jelas pekara tersebut adalah satu kemungkaran. Pandangan tersebut adalah jelas lahir dari kejahilan, kebencian , phobia dan finatik, bukannya berasaskan hujah yang autentik!.
Satu lagi alasan yang dikemukkan bagi golongan yang mahu nama Islam tidak digunakan dalam pertubuhan atau parti politik ialah alasan untuk menjaga kesucian Islam. Sebenarnya kesucian Islam terjaga apabila sistem Islam dinobat dan dilaksanakan di dalam kehidupan umat Islam. Islam hanya benar-benar terjaga kesuciannya apabila ada keazaman yang jitu di kalangan pertubuhan atau gerakan yang benar-benar mahu menjadikan Islam sebagai landasan perjuangannya. Tidak ada maknanya kalau sekadar berselogan mahu menjaga kesucian Islam sedangkan segala tindak tanduk, pendekatan yang digunakan jauh dari kehendak ajaran Islam . Golongan yang masih berpegang teguh kepada fahaman sekularisme, sebenarnya mahu bertindak bebas di dalam apa juga tindakan mereka.Agama bagi mereka hanyalah penghalang kepada cita-cita dan nafsu tamak yang ada di dalam diri mereka. Justeru itu, mereka mencari berbagai dalih bagi memperlihatkan Islam sebagai satu agama yang tidak boleh dicampur adukan dengan persoalan politik dan sebagainya. Kalau politik tidak ada di dalam Islam bermakna Allah adalah bersifat jahil kerana menurunkan satu agama yang tidak lengkap dan tidak relaven dengan kehidupan manusia. Hebat sangatkah diri kita sehingga kita sanggup mengatakan Allah itu jahil !!!!.
Tuesday, October 20, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment